Kami telah berpindah ke laman web baru. Mari, lawati kami di http://pembinarcmp.net
Terima kasih atas sokongan anda di laman kami ini!
Kami telah berpindah ke laman web baru. Mari, lawati kami di http://pembinarcmp.net
Terima kasih atas sokongan anda di laman kami ini!
Ipoh, 22 Mac 2012 – Seperti iftar bulanan yang lalu, Pembina RCMP telah sekali lagi berjaya menganjurkan iftar bulan Mac di Teratak Bidadari, Westpool Park. Program kali ini dianjurkan khas bersama-sama dengan aktiviti solat hajat bagi para pelajar Phase 1 MBBS yang akan menduduki peperiksaan akhir tahun pada awal bulan April.
Aktiviti kali ini disertai oleh 31 orang pelajar yang secara keseluruhannya pelajar MBBS. Para hadirin tiba sekitar jam 7.00 PM. Pengisian iftar selepas sesi berbuka puasa dan solat maghrib secara berjemaah diberikan oleh saudari Imtinaan Zainal Abidin dengan tajuk “Exam Sizzles”. Beliau telah menerangkan erti sebenar peperiksaan yang berbeza dengan tanggapan dan realiti pelajar perubatan pada masa kini.
Di dalam slot ini, banyak pengalaman dan nasihat sebagai seorang senior tahun 3 dikongsikan kepada adik-adik yang baru sahaja merasai cebisan cabaran hidup sebagai seorang pelajar perubatan yang turut menggalas tanggungjawab da’wah.
Solat hajat dilaksanakan selepas solat Isya’. Doa-doa dititipkan memohon agar diberikan ketenangan dan kejayaan buat para sahabat bukan sahaja bagi menempuh peperiksaan di dunia, malah peperiksaan utama yang menanti di Mahsyar kelak.
Majlis bersurai pada pukul 9.30 PM dengan sedikit cenderahati dan kata-kata semangat serta kasih sayang ukhuwah fillah daripada Pembina RCMP.
Disediakan oleh, Siti Syuhada Ab Rahman Naib Pengerusi II Pembina RCMP
Impian saya. Saya ingin mengumpulkan seberapa banyak buku yang saya beli dengan hasil titik peluh saya sendiri. Kemudian buku-buku itu akan saya susun dengan cantik dalam sebuah perpustakaan persendirian di rumah saya . Saya ingin menghidupkan suasana di mana saya boleh mencium bau buku di setiap ceruk rumah serta seluruh ahli keluarga saya dapat berkongsi rasa kegembiraan, kesedihan dan keinsafan hasil daripada pembacaan yang saya rasai juga.
Tapi adakah anda rasa impian saya mudah?.
Abu hurairah meriwayatkan bahawa nabi muhammad saw pernah bersabda :
“Permohonanmu akan dimakbulkan jika kamu bersabar & jika kamu tidak berkata aku memohon tetapi permohonanku tidak dipertimbangkan.”
HR Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Tirmizi.
Selalu saya mendengar orang kata impian yang besar untuk jiwa yang besar. Betul! Jika saya inginkan impian untuk memiliki sebuah perpustakaan besar saya perlu kuat berusaha. Belajar dengan lebih bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan mampu untuk membina impian saya dan kata kuncinya tentulah saya perlu menjadi orang yang berjiwa besar. Dan jiwa-jiwa besar itu dimiliki oleh orang yang kuat usahanya, tegas dengan azamnya, dan tidak begitu memikirkan isu ‘sepele’ (masalah remeh).
Bagi sesiapa yang mahu di antara kamu hendak maju ke depan atau mundur ke belakang -tiap-tiap manusia tergadai (terikat ) disebabkan oleh usahanya.
(Surah Al Mudatsir 37-38)
Saya bawakan satu cerita untuk kita sama-sama fikirkan.
Kereta itu meluncur penuh hati-hati. Lalu dia pun membelokkan keretanya ke kiri.
“Cis! Kereta ni bukan nak bagi signal. Penat aku tunggu nak lintas, rupanya dia nak belok kiri pulak. Pemandu tak berdisiplin. Huh!”, rungut si pejalan kaki.
Kereta pemandu tersebut terus melaju. Muka si pejalan kaki berkerut seribu. Marah sungguh lagaknya. Buat rosak mood orang sahaja! Tiada lagi senyuman terukir di wajahnya. Kawan yang lalu disebelahnya pun tak disapanya. Mood tengah tak baik, tak boleh senyum!
*Cerita tamat.
Baiklah, sebagai manusia biasa, mungkin kesilapan kecil seperti ini mudah sahaja memberi kesan dan mengundang kemarahan kita. Kita juga sebagai manusia mudah sekali meradang apabila berlakunya peristiwa yang merosakkan mood kita. Cuba kita fikir. Bila kita marah, apa yang kita dapat? Adakah kereta tadi akan belok semula tiba-tiba dan berikan hadiah sejambak bunga sebagai minta maaf? Mungkin ada kebarangkalian hal seperti ini berlaku. Tapi amatlah tipis.
Apalah salahnya sekiranya kita mengatasi kemarahan kita dengan sekuntum senyuman. Apalah salahnya sekiranya kita berfikir dengan baik. Mungkin mentol lampunya rosak atau dia terlupa nak nyalakan lampu, sebab tu tak boleh buka lampu signal. Senyuman beserta dengan minda yang positif cukup menyelamatkan emosi kita,menyelamatkan wajah daripada kelihatan lebih tua daripada usia, menyelamatkan hubungan kita dengan manusia dan sekaligus kita akan mendapat pahala. Subhanallah!
Dan orang yang mempunyai fikiran yang positiflah kata kunci untuk menjadi orang yang berjiwa besar. Segala cubaan dan mehnah yang dilalui diatasi dengan fikiran yang sentiasa bersangka baik terhadap Allah SWT.
Telah Allah janjikan didalam surah Al-sharh:
“Tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan..”.
Orang-orang yang berjiwa besar mempunyai keyakinan bahawa kesukaran yang dilalui pasti Allah berikannya kemudahan. Itu pasti, kerana Allah telah menjanjikannya.
Sekian. Selamat menjadi orang yang berjiwa besar untuk mencapai impian yang besar!
Sharifah Maimunah Syed Zaid
Tahun 2 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
Bimbingan dan Kaunseling.
PEMBINA Gombak
Perayaan April Fool yang selalu diakhiri dengan kegembiraan dan kepuasan itu sesungguhnya berasal dari satu tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan. The April Fool Day berasal dari satu episod sejarah Muslim Sepanyol pada tahun 1487 atau bersamaan dengan 892 H. Sebelum mengungkap tragedi tersebut, suka untuk saya menaklik semula sejarah Sepanyol dahulu ketika masih di bawah kekuasaan Islam.
Sejak dibebaskan Islam pada abad ke-8 M oleh Panglima Thariq bin Ziyad, Sepanyol tumbuh menjadi satu negeri yang makmur secara beransur-ansur. Pasukan Islam tidak setakat berhenti di Sepanyol, namun terus melakukan pembebasan di negeri-negeri sekitarnya menuju Perancis. Perancis Selatan dengan mudah dibebaskan. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours, dan sebagainya jatuh. Walau sangat kuat, pasukan Islam masih memberikan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah Barat yang terletak di pergunungan.
Islam telah menerangi Sepanyol. Ini kerana sikap para penguasa Islam begitu baik dan rendah hati, maka banyak orang-orang Sepanyol yang kemudian dengan tulus dan ikhlas memeluk Islam. Muslim Sepanyol bukan hanya beragama Islam, namun mereka sungguh-sungguh mengamalkan kehidupan secara Islami. Mereka tidak hanya membaca Al-Quran, tetapi juga bertingkah laku berdasarkan Al-Quran. Mereka selalu berkata untuk tidak minum khamar, bergaul bebas, dan segala macam hal yang dilarang oleh Islam. Keadaan seperti itu berlangsung hampir enam abad lamanya.
Selama itu pula kaum kafir yang masih ada di sekeliling Sepanyol tanpa kenal lelah terus berupaya membersihkan Islam dari Sepanyol, namun mereka selalu gagal. Mereka telah mencuba beberapa kali tapi selalu tidak berhasil. Maka dikirimlah sejumlah perisik untuk mempelajari kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik itu menemukan cara untuk menaklukkan Islam di Sepanyol, yakni yang pertama adalah harus melemahkan iman mereka dahulu dengan jalan serangan pemikiran dan budaya.
Maka mulailah secara diam-diam mereka mengirim alkohol dan rokok secara percuma ke dalam wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk membujuk kaum mudanya agar lebih suka bernyanyi dan menari berbanding membaca Al-Quran. Mereka juga mengirim sejumlah ulama palsu yang kerjanya adalah untuk menyemarakkan perpecahan di dalam tubuh umat Islam Sepanyol. Lama-kelamaan upaya ini membuahkan hasil.
Akhirnya Sepanyol jatuh dan berjaya dikuasai pasukan Salib. Penyerangan oleh pasukan Salib benar-benar dilakukan dengan kejam tanpa mengenal peri kemanusiaan. Tidak hanya pasukan Islam yang dibantai, tetapi juga rakyat biasa, wanita, anak-anak kecil, orang-orang tua, semuanya dibantai dengan sadis dan kejam.
Satu persatu daerah di Sepanyol ditakluki. Granada adalah daerah terakhir yang ditaklukkan. Penduduk Islam di Sepanyol (juga disebut orang Moor) terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera Kristian terus mengejar mereka.
Secara tiba–tiba, nama Bashar Al-assad menjadi ‘household name’ dalam percaturan politik dunia. Cengkaman kuasa hegemoni beliau ke atas rakyat Syria menyebabkan jutaan jiwa terseksa. Satu persatu hak asasi mereka direntap bagai tiada lagi harapan untuk mereka. Perjuangan soldadu awam ini melakar satu mesej yang jelas bahawa berbekalkan semangat, tirani seampuh mana pun mampu ditumbangkan. Namun timbul satu persoalan disini, Siapakah sebenarnya Bashar Al-Assad? Mengapa namanya diletakkan sebaris dengan Hosni Mubarak, Ben Ali dan Muaamar Gadafi? Mari kita retrospeksi kembali sejarah hidup insan yang dilaknat rakyat Syria ini.
Nama penuh beliau ialah Bashar Hafez Al- Assad, Lahir pada 19 september 1965 di Damsyik. Beliau merupakan anak kepada Hafez Al-assad yang juga nerupakan pemerintah yang dibenci rakyat Syria kerana menyekat hak untuk mengundi serta mengharamkan penubuhan parti politik lain. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Al–Hurriya, sebuah sekolah yang ditubuhkan kolonial Perancis ketika zaman penjajahan Syria. Beliau berasal dari suku kaum Alawi yang juga merupakan penganut fahaman syiah di Syria.
Kemudian, Bashar Al-assad berjaya memasuki Universiti Damsyik sebagai seorang pelajar perubatan. Selepas ditauliahkan sebagai seorang doktor, beliau memulakan karier di hospital Tishrin, sebuah hospital tentera di Damsyik. Selepas empat tahun berkhidmat, bidang kepakaran ophthalmology telah menarik minat beliau. Justeru itu, beliau telah berhijrah ke United Kingdom dan mendapat latihan kepakaran di Western Eye Hospital, sebahagian daripada jaringan Saint Mary Hospital. Continue reading